Kes yang paling viral baru-baru ni, kes Nur Farah Kartini. Hilang beberapa hari, kemudian ditemui sudah meninggal dunia di dalam ladang sawit. Dah beberapa berita kes macam ni.
Tapi kisah dia ni agak boom jugak sebab mangsa adalah seorang yang bright, bijak, cantik, baik. Perfect. Ramai orang kenal, ramai orang sayang.
Post kejadian, few jugak aku nampak (kebanyakannya) para pendidik yang bagi nasihat kat adik-adik dan anak-anak perempuan, nasihat-nasihat kehidupan. Biasalah kita waktu muda-muda memang banyak benda kita tak tahu. Apa keadaan yang mengancam atau merbahayakan kita pun kita tak dapat nak teka. Jadi pentinglah sisi pandang orang tua atau orang lebih dewasa dalam kes seperti ini.
Hari ini sebenarnya aku bukan nak cerita kan tentang kes Farah ni. Aku nak menyorot kembali kejadian masa aku di matrikulasi. berbelas tahun yang lalu (uuuwww tuanya rasa)
Ada satu kes yang besar terjadi di tahun itu melibatkan pelajar dari matrikulasi kami. Di awal tahun itu, ada 2 pelajar ditangkap basah di motel di Pulau Pinang dan yang lebih menjadi kes itu besar, kerana kejadian tersebut menjadi berita utama di akhbar Kosmo waktu itu. Dan kedua-dua pelajar itu digantung sesi pembelajaran mereka. Elok pulak masa tu dah hampir ke minggu peperiksaan. Pensyarah pun kebanyakannya membuat kelas tambahan mengenai teknik menjawab soalan dan ulangkaji pantas macam tu.
Jadi ada satu pensyarah Biologi masa tu, mengulas mengenai kejadian tersebut. Masa aku dengar tu, aku rasa macam mak-mak lah menasihati anak. Satu kelas terdiam, hening suasananya.
"Mak ayah kalian menghantar kalian kesini bukan untuk kalian buat perkara-perkara macam tu. Mereka hantar kalian untuk belajar, bukan nak bercinta. Saya ingat lagi masa kejadian Norita Samsudin. Keluarga dia sampai lari ke hutan. Malu dengan kejadian tu. Satu Malaysia kenal, mana nak letak muka. Kalian boleh lari menyorok masuk almari, tapi mak ayah kalian kat kampung macam mana? Kalian ingatlah mereka kat kampung bila nak buat sesuatu. Kita ni, duta mak ayah kita. Janganlah malukan mereka."
Allahu.
Kejadian tu takdela kaitan dengan aku, aku pun tak kenal kedua pelaku. Tapi asbab dari kejadian tu, aku belajar perspektif baru dalam hidup. Kita ni, bukan milik kita semata. Sehingga semua kita buat nak ikut kepala kita saja. Kita juga adalah cerminan kepada mak ayah kita. Kalau nak buat sesuatu jangan ambil ringan, fikirkan kesan kepada mak ayah juga.
Sekarang, aku pulak dah seusia macam pensyarah aku waktu tu. Dah tiba masanya aku pulak memberi nasihat kepada anak-anak dan adik-adik semua.
Kita berikthiar, berusaha. Setidaknya di pihak kita, kita dah buat sehabis baik untuk menjaga kehormatan kita dan maruah keluarga. Namun sekiranya tetap terjadi, itu mungkin telah tertulis di dalam takdir. Semoga kita di selamatkan Allah dari ujian yang berat seperti banyaknya kejadian akhir-akhir ini.
**kes Farah ni mengingatkan pula pada kes Inspektor Saderi, sekitar tahun 80an dahulu.
Wallahualam.