Aduh.
Ingat selepas 505 dah taknak citer pasal politik, tapi macam kena jugak sembang kencang kan.
Berdasarkan pembacaan, lanskap politik negara Malaysia benar-benar tergoncang sejak peristiwa Reformasi 1998. Sejak itulah, pertempuran medan politik negara semakin hari semakin tenat. Bau permusuhan bertebaran melata. Nista dan fitnah menjadi seakan kayu api yang berbara, pantang minyak tertumpah, api mula marak. Pelbagai media perdana pula samada televisyen, radio mahupun surat khabar mula menjadi condong, memihak ke arah satu pihak sahaja.
Nyata, Malaysia telah meragut kebercayaan rakyat marhaen. Benarkah kebenaran itu benar? dan yang salah itu sebetulnya adalah salah? Minda rakyat tidak dapat lagi mencerna normal. Apatah lagi sekiranya sumber berita rakyat adalah dari sumber yang terhad, media perdana yang telah pun pincang dari ketelusan dan kelantangan menyuarakan yang haq.
Aku, ketika kejadian reformasi itu baru berusia 11 tahun, darjah 5. Apalah yang aku tahu tentang reformasi. Tapi aku tahu ia adalah satu isu yang besar. Hanya baru-baru ini aku mula membuat pembacaan tentang isu tersebut kembali. Ya, terdapat banyak kepincangan dan dan dan.. aku temui isu yang lebih besar. Negara kita mengalami isu korupsi yang makin teruk, makin membarah dan bernanah dalam daging.
Disebalik semuanya, aku mula menemui isu-isu seperti rasuah, kronisme, BMF & BBMB, NFC & Kondominium di Bangsar dan S'pura, misteri pembunuhan Jalil Ibrahim di Hong Kong, pengeboman Altantuya, kapal selam Scorpene. Kemudian, ada jugak kisah-kisah seks songsang, isu perkauman, isu kalimah Allah, dan paling sedih apabila Tuan Guru Nik Aziz juga turut menerima tempiasnya gelombang politik lucah ini.
Aku, bukan mengajak kita semua untuk mengagungkan parti BN mahupun parti PR. Kerana bagi aku, siapa-siapa pun yang memegang tampuk pimpinan, yang berhadapan dengan wang berjuta-juta depan mata pasti akan di duga. samaada terduga, atau mampu menahan dugaan, semuanya bergantung pada tahap integirti dalam diri. Sejauh mana ketatnya keimanan dan kepercayaan masing-masing terhadap Allah, terhadap kepastian hari pembalasan.
Aku cuma menyeru, supaya kita sama-sama membuat satu penilaian yang benar berdasarkan fakta dari kedua-dua belah pihak. Jangan sekadar mendengar kata-kata pimpinan BN mahupun sekadar mengagong-agongkan pimpinan PR. Apa guna belajar sehingga peringkat tertinggi tapi langsung tak kritis dalam membuat pemilihan.
Setelah media perdana menjadi bias dalam mempamerkan kebenaran, adakah kita harus turut sama menjadi condong dan tidak adil dalam membuat keputusan? Letakkan tanggungjawab kepada negara terhadap bahu kita. Kerana pada akhirnya dunia ini milik orang muda! Dan kerana pada akhirnya semua kita akan dipersoalkan di Masyar tentang apa yang kita perjuangkan, tentang apa yang kita pilih.
Dengan keadaan hutang Malaysia yang bertambah dan terus bertambah tahun demi tahun sejak 1980-an hingga hari ini. Adakah masih, kita mahu memperjudikan nasib negara kita, yang kita cinta ini?
Di tanah ini kita mengenal tarbiyah,
Di tanah ini kita membina Islam dalam diri kita.
Di tanah ini kita menjadi dewasa, belajar dan bekerjaya.
Maka, tegarkah kita membiarkan ia hancur di tangan kita? Atas ketidak jujuran kita dalam memilih?
Fikirlah.