Quotes..

"manusia tidak dapat mencintai orang lain selagi belum mencintai diri mereka sendiri.. dan mereka tidak akan mencintai diri mereka sendiri sebelum mereka mencintai Tuhan.."

Sedikit Renungan

"Sesiapa mencintai Allah pasti semakin sunyi dengan manusia. Di tengah keramaian dia rasa keseorangan. Saat kesukaan dia berduka. Jika orang tertawa dia menangis. Jasadnya dengan manusia, batinnya kepada Allah"


"Ketenangan dan kebahagiaan adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam lubuk hati orang yang beriman, mereka akan tetap berhati teguh, di kala insan lain mengalami kegoncangan"

[Syed Qutb]

18 December 2024

Coretan 18 Disember

Hei,

Bila masa dah Disember ni? Aduhai.. dah kena mula mengarang untuk penutup 2024 ni. Kalau tak mula alamat sadaqallah je lah summary macam 2022!

Macam biasa, ada je rasa nak tulis post sebenarnya, tapi bila idea tu mari tengah tak depan laptop tak jadi. Walaupun ada je blogger apps dalam fon.. tetap nak jugak tunggu laptop kan. Tam pamham betul.

Currently otak aku ni berantakan sebenarnya. Dia macam having difficulty to focus. Not here and not there too. Apa aku tengah buat ni? (Rasanya dah memang berapa lama memang macam ni pun)

Dah nak 40 oii.. 

Serius sikit lah berubah Sarah! Orang cakap kita nak buat amal kena mula dari awal. Tapi banyak juga amalan yang dah mula dari awal, tapi makin kesini makin kemana amal tersebut. Seram kan? Di kala semakin ramai yang berubah/ berhijrah menjadi semakin baik. Kita pula diuji dengan semakin hilangnya rasa beramal. Allahu. Nauzubillahiminzalik.

Ok takdepape pun, saja drop by lama tak menulis. Hope aku tak terlupa lah nak menaip karangan penutup untuk 2024 ni. Exciting tahun ni. So kena jot. Sayang kalau terhanyut dari catatan. 

(Oh, cerita rinjani pun memang kandas terusssss... Allahu)

Pen-off,
Seksyen 19, Petaling Jaya

30 November 2024

Jurnal 30 November - Mengantuknya

Mengantuk pagi ni.


Hari ni bangun awal la juga untuk kategori hari cuti. Takde la janggal sangat bangun awal ni sebenarnya sebab kadang aku pegi hiking memang kena awal juga kan. 

Plan asalnya aku nak ke gopeng hari ni, riki tapak program bulan 12 nanti. Jam 7 macam tu aku dah bertuala nak masuk mandi, tapi ralit tengok phone dulu. Elok tengah duk skrol dapat mesej masuk bagitau hari ni tak dapat nak riki sebab tempat tu ada family day. Maka aku pun teruskanlah kegiatan sedia ada aku tu iaitu, skrol fon.

Hari ni ada pula si Mirandayulita tengah live tiktok. Dia biasa pagi-pagi ni kalau tak live makan, dia akan live buat cilok. Entah macam mana aku sangkut layan live dia. Mira ni dulu 6 tahun duk Malaysia, kerja. Awal or tengah tahun ni dia balik Indonesia, Palembang. Visa kerja dah habis. Jadi, live dia memang show 'live' dia kat kampung tu lah.

Sekarang kat kampung dia berjualan cilok, jualan untuk budak2 sekolah yang ke kelas mengaji. Tengok banyak kali, jadi keingat pulak cilok yang di beli di depan Masjid Agung Sunda Kelapa. Permah sekali aku beli kat sana, selain cilok, siomay pun makanan yang kadang-kadang jadi ngiler bila teringat. Siomay hari tu masa ke Labuan ada jumpa kat one of food court sana. Sedap jugak.

Bila cari-cari katanya ada jual di chow kit. Masa aku kerja KL dulu, pernah la aku pergi. Alih-alih time tu takde pulak. Jadi aku try batagor je. Batagor pun sedap. Ah sudah! Semua sedap ni. HAHA. 

Berbalik kepada cilok tadi, terus aku google resepi. Ah dan ya, easy je sebenarnya. Tadaa..


Punya rancak layan cilok ni, dekat separuh pinggan gak duk bedal tadi. Pastu, udah mengantuk. Dalam pada mengantuk tu, tetap on game. Noh, hilang mengantuk. 

Update lepas game: Tengah fikir patut tak buat kuah kacang dia. Kacang tanah takde, tapi kacang gajus ada ni. hehe

Pen Off,
30/11/24
Petaling Jaya

19 November 2024

Jurnal 19 November - Bangkit

Hai, 

kembali lagi kita dalam rancanagan, borak apa pagi ni?

Hari ni kita nak cerita tentang 'Bangkit'. Biasalah random2 ni kan. Okey, sebelum tu. Sekarang ni aku berada di kampung halaman, yes, hari Selasa tapi di kampung halaman. Bukan, belum ambil cuti lagi untuk November. Sejak-sejak kerja dari rumah. Begitulah kadang-kadang di Perak, kadang-kadang di PJ.

Petani Nenas

Tadi masa sarapan, mak aku buka youtube. Jadi adalah video ni pasal petani yang berjaya. Yang pertama tu pengusaha nenas. Dia jual nenas MD2 dalam masa yang sama ada juga tanam nenas-nenas lain. Nenas tu, selain dia jual buah, dia juga ada kafe yang menjual makanan yang diolah dari nenas. Macam puding, karipap nenas, sambal nenas, air nenas dan buah potong. Besar juga ladang nenasnya. Seronoklah dengar, dia cerita tentang nenas tu kalau tanam tepi sayur apa kesan dia, kalau takda pagar kat ladang nenas jadi apa. Kesusahan dia bila awal-awal tanam dulu, satu jalur di sodok babi hutan. Macam-macamlah.

Bila disusur dari kisah bagaimana dia boleh memulakan penanaman nenas ni, bertitik tolak dari dia hilang pekerjaan. Dulu dia pegawai, lepas tu takda kerja. Lama dia takde kerja, setahun. Dia tak tau nak buat apa, sampai hampir dibenci keluarga lah sebab tak buat apa-apa. (Tiba-tiba kat sini aku macam relate sikit-sikit, aku rasa macam boleh paham sebab kita dah biasa kerja dengan orang, bila benda tu hilang kita jadi lost, pastu kita taktau nak start macam mana. Rasa macam sampah tu betul-betul menebal. Tapi baguslah brother ni jumpa jalan untuk bangkit)

Dia pulak dah ada keluarga, ada anak bini. Last-last dia gunakan tanah ayah mertua, beranikan diri buat pinjaman. Berbekalkan modal yang kecik tu, dan sebidang tanah itulah dia memulakan penanaman nenas. Sampailah sekarang ni dia dah femes, Saudagar Nanas Agrofarm

Petani Pandan

Lepas tu, aku dengar pula cerita tentang sorang makcik ni. Dia diceraikan suami, masa tu tak kerja, anak 8 orang. Lepas diceraikan, baliklah dia ke bapaknya di Tg Karang. Bayangkanlah tak ada kerja anak 8 orang, siapa pula nak kena menanggung. Bapanya tumpangkan tempat tinggal. Dia tak lama larut dengan keadaan, terus cari kerja-kerja kampung, minta tolong dari kawan-kawan. Mula dari bantu cabut pucuk ubi. Sampailah akhirnya decide untuk tanam pandan.

Mula dari pinjam beberapa ribu untuk buat modal menanam pandan, sampailah ambil pinjaman 50ribu untuk sewa tanah dan tanam pandan secara pukal. Pandan tu kemudian di jual ke kilang. Mass production. Sehari pengeluaran boleh mencecah 1 tan pandan. 

Sekarang ni, anak pun dah besar-besar. Tananam pandan ni diteruskan bersama anak no.1 dan anak no.2. Dia pun dah tak banyak masuk ladang. Dah ada pekerja.

*    *    *    *    *

Dari dua cerita tu, percayalah.. Allah kasi kita ujian, untuk kita bounce back higher! :)

Positive guys! Takdenya Allah bagi sia-sia~ Semangat ya, baru hari Selasa. Ada Rabu, Khamis dan Jumaat untuk dijalani. Hehe


Pen-off,
Kg Gajah.

12 November 2024

Jurnal 12 November - Menyapu

Tadi aku menyapu, tapi malas betul aku nak tutup kipas. Sambil menyapu tu sambil aku tergelak sendiri dalam hati, ini kalau mak aku atau makcik aku nampak ni mesti bising menyapu tak tutup kipas. Apa kejadahnya. Haha.

Sejak aku berhenti kerja di pejabat dan kebanyakan masa di rumah, aku lebih banyak memegang kayu penyapu tu berbanding zaman aku kerja di pejabat. Macam tak menarik betul lah nak pegang penyapu. Sekarang ni, baru pandai nak menyapu setiap hari. (okey bocor rahsia)

Menyapu ni sama je macam kau mengait, atau mewarna atau apa lagi? kerja yang kau tak payah guna otak sangatlah. Selain dari kau tak payah berusaha keras menggunakan otak, kau jugak boleh menyusun balik otak kau, healing juga menyapu ni ek. Satu, kau menyapu sampah je sebenarnya tapi serabut2 kat dalam otak tu pun macam tersapu sikit2. Kedua, dalam banyak benda kau buat tak jadi2/ tak siap2 ada benda yang kau dapat siapkan, menyapu! Small accomplishment is a small achievement. 

Ok, jom cerita.

Pangkat dan Harta

Last few month, kawan aku ni dapat kabar dari senior dia yang ada ura-ura yang dia akan dinaikkan pangkat. Sebab immidiate boss dia hari tu berhenti. Jadi memandangkan banyak kerja boss tu yang dia buat, might as well dia dinaikkan. Macam tu. Member ni pun dah macam-macamlah plan, sebab bukan saja dia akan naik pangkat dan naik gaji, dia jugak akan dapat tunggakan kenaikan untuk 3 bulan sebelum macam tu. Allahu. MasyaAllah. Orang cakap durian runtuh.

Fast forward, awal bulan ni tiba-tiba ada orang baru masuk dan dia jadi boss baru menggantikan boss dia yang dah berhenti hari tu (which is supposedly position yang dijanjikan untuk dia) Keras mat! Aku yang dengar cerita pun rabak dengar. Biasalah kau dah dicanaikan dengan harapan menggunung, lalu kau hempaskan macam tu je, tak ke berderai semua impian?

Satu hal dia tak dapat naik pangkat, thus tak naik gaji. Kena pulak dia ajar boss yang baru tu all the things. Kesiannya masyaAllah. Berat ujian dia.

Sebagai kawan, aku rasa sedihlah. Tapi tulah, nama juga hidup, kat dunia pulak tu. Mana ada yang adil. Adil tu semua kat syurga nanti. Aku sendiri dah lama dah mengabaikan pengharapan kepada orang ni. Bagi aku, kalau Allah nak bagi, aku dapatlah tu. Kalau memang tak bagi, manusia pun tak boleh bantu. 

Dunia Sementara

Elok pulak baru je lalu tadi kat tiktok ada seorang Uzbekistan ni - kita namakan dia U, tengah memandu kereta. U baru je duduk US dalam setahun macam tu. Jadi ada orang (kereta sebelah) kita namakan dia J la ek. J tanya dia, nak tak kalau swap kereta. U cakap, oh tak boleh sebab tu bukan kereta dia, tu kereta pinjam. U tak ada kereta lagi. Lepas tu J pun berdoa, dia cakap semoga U di kurniakan millions of car. Amazingly, U balas, 
"No brother no, its dunya. I dont want dunya. The  world should be given to fire brother"
Lepas sembang punya sembang, rupanya bapa J ni pun orang Uzbekistan, tapi dia taktau bahasa Uzbek.
"You are loosing yourself brother"

Allahu. Aku tak taulah siapa brother U ni. Perbualan dia simple, pendek tapi padat dan menyentuh hati. J telah jauh dari negara asalnya dan perlahan-lahan jatidiri bangsa dia pun semakin memudar. But it reflect to me, dulu sekolah agama, rajin ikut kuliah, rajin puasa, senang lah nak buat kebaikan semua tu. Sambung kat universtiti pun masih dengan circle kebaikan. Tapi through time, makin kesini, makin jauhh rasanya, makin hilanngg.. apakah iman kita ini hanya kerana suasana? Allahuakbar.


Begin with end in mind

Makin hari, makin kerap juga memikir bagaimana penghujung hidup kita ni. Allah dah bagi roller coaster yang hebat. Macam-macam yang Allah bagi. Bagi kita dekat dengan Dia, bagi kita jauh dari Dia, bagi kita macam-macam perasaan. Sehingga kita sampai ke hari ini. 

Lalu, kemana tujuan kita akhirnya?

“Sungguh siapa saja yang hidup di atas suatu kebiasaan tertentu, dia pun akan diwafatkan di atas kebiasaan tersebut.” (Ibnu Katsir, Tafsiir al-Qur’aan al-‘Azhiim, 2/101; as-Sa’adi, Taysiir al-Kariim ar-Rahmaan fii Tafsiir Kalaam al-Manaan, 1/130).

Jomlah kita semak balik apa amalan yang paling kita kerap buat dalam sehari. Dari situ kita boleh ejas, perlahan-lahan berubah dan mencorakkan balik, kematian seperti apa yang kita inginkan. 

Yuk kawan-kawan, semangat! Kalau dunya begitu menyakitkan untuk kita, kenapa tidak kita usahakan untuk kepastian akhirat yang abadi. :)

Till then,
Petaling Jaya

09 October 2024

Cerita Ayah2

Hari ni ayah ude dan andak ada pulang ke kampung sebab saudara mereka mengahwinkan anak. Jadi ayah ude yang tinggal di Gombak dan andak yang tinggal di Seremban pulanglah menghadirkan diri. Walaupun minggu lepas pun ada saudara kawinkan anak juga, balik juga.

Disebabkan ayah adalah abang sulung. Jadi setiap pulang ke kampung pasti adik-adiknya akan singgah ke rumah ayah. 

Aku keluar dengan kak Siti tadi, melihat-lihat ada pesta makanan katanya di pekan Kg Gajah. Punyalah mahal harganya, kalah harga makanan di KL. Tapi aku belilah juga. #supportlokal katanya.

Balik dari pekan, aku lihat ada kereta parkir di depan rumah, ini pasti ayah uda. Usai bersalaman, keluarganya ajak ke pesta makanan tapi ayah uda berkeras nak menunggu ayah pulang dari solat Asar di masjid. Beberapa kali pulang katanya tak berjumpa, nanti diungkit pula. Ketika menunggu, entah macam mana terbuka kisah mistik. Dan rentetan dari kisah itu membawa ke kejadian di bulan Februari tahun 1975, ketika itu ayah uda berumur 10 tahun, andak 7 dan ayah di tingkatan 4. 

Mak mereka (opah Gayah) mengalami muntah darah berhari-hari sebelum meninggal dunia. Bila ditanya lagi selepas itu kepada ayah, katanya sebelum muntah darah tu, opah jatuh motor. Selang beberapa hari dia muntah darah, dan muntahnya berlanjutan berhari-hari sebelum akhirnya decide untuk ke hospital. Aku tak boleh bayangkan sangat keadaan tu sebab zaman tu tak ramai yang ada kereta, jalan pun tak macam sekarang. Ayah sendiri ke sekolah perlu naik bot, menyeberang sungai perak. 

"Ayah Ude ingat lagi, sebelum opah pergi tu dia pesan kat Opah Ha, Ha ko tolong jagakan anak-anak aku. Itulah kata-kata terakhir yang mak cakap, dan sampai sekarang ada satu rasa yang terpendam kat dalam hati ni. Terkesan betul. Memang itulah last, ayah ude dengar suara dia."

Nak menghantar opah masa tu, diorang minta tolong khidmat kereta sapu nak hantarkan ke Hospital Teluk Intan. Masa kejadian tu, yang ada di rumah adalah ayah ude dan andak sebab diorang sekolah rendah lagi, sementara acik pula baru setahun 6 bulan. Ayah ke sekolah menengah di Maharajalela (seberang sungai) sementara ayah lang baru seminggu masuk sekolah asrama di Izudin Shah Ipoh.

Ayah sampai dari masjid ketika ayah uda rancak throw back kisah ini.

"Aku sebenarnya ada rasa, masa nak pergi sekolah pagi tu rasa berat je hati nak pergi. Macam ada yang tak sedap. Lagi2 masa tu dah dengar yang mak akan dibawa ke hospital pagi tu" sambung ayah.

Hospital Teluk Intan. ihsan FB. Hospital lama yang selalu dilanda banjir berikutan kedudukan yang hampir dengan sungai. Hospital ini terakhir beroperasi di tahun 1987 sebelum berpindah ke lokasi Hospital Teluk Intan yang sekarang.

Opah Gayah meninggal selepas 2 jam di Hospital. Hospital bagitahu punca kematian adalah disebabkan oleh ada luka dalam, sebab katanya organ kat dalam dah pecah (sebab tu muntah darah) Dari cerita mereka, katanya terkena santau. Tapi dari cerita tu, aku syak ada kecederaan dalaman masa dia eksiden motor cuma tak segera buat checkup, zaman tu akses nak dapatkan bantuan kesihatan mungkin tak macam sekarang. 

Tengah rancak bercerita andak pula sampai, seketika suasana beku dari putaran masa ke tahun 70an tadi. Tapi jangan bimbang, parasarah tak akan membiarkan kejadian ini terus beku. Jom cairkan.

"Andak, masa opah gayah meninggal dunia, andak masa tu darjah 1, dan berada di rumah. Boleh andak ceritakan POV dari andak ketika kejadian?"

"Suatu hari, lepas dekat seminggu batuk darah. Opah pun nak dibawa ke hospital, jadi dia pun cakap kat andak. Roy, mak nak pergi hospital ni ye" sampai situ andak dah tak dapat teruskan cerita. 

"Eh sampai situ jelah cerita dia" kata andak lagi sambil gelak2. Aku rasa dia sengaja, mesti dia tak mampu nak sampaikan sebab cerita tu terlalu perit dan menyakitkan.

Ayah ada 5 beradik seibu sebapa. Kesemuanya lelaki. Selepas pemergian opah gayah, mereka berlima dipelihara oleh opah mereka (onyang aku). Onyang ni seingat cerita, masih ada sehingga kak siti dilahirkan. Kira mak pun sempatlah mengenali sosok onyang. Ayah mereka pula berkahwin lain pada penghujung tahun yang sama, menjadikan ayah ada seorang lagi adik seayah, lain ibu. Selain itu, ada 2 lagi anak Opah bendang dari perkahwinan sebelumnya (lain mak, lain ayah)

Tak boleh bayangkan kehidupan tanpa mak diawal usia.

Petang itu diakhiri dengan cerita-cerita lama ketika 5 beradik lelaki ini mendewasa bersama dalam jagaan onyang. Macam-macam cerita.