Quotes..

"manusia tidak dapat mencintai orang lain selagi belum mencintai diri mereka sendiri.. dan mereka tidak akan mencintai diri mereka sendiri sebelum mereka mencintai Tuhan.."

Sedikit Renungan

"Sesiapa mencintai Allah pasti semakin sunyi dengan manusia. Di tengah keramaian dia rasa keseorangan. Saat kesukaan dia berduka. Jika orang tertawa dia menangis. Jasadnya dengan manusia, batinnya kepada Allah"


"Ketenangan dan kebahagiaan adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam lubuk hati orang yang beriman, mereka akan tetap berhati teguh, di kala insan lain mengalami kegoncangan"

[Syed Qutb]

27 December 2025

Kinabalu Trip - D3: Descending

Tuhan jika bahagia tak untukku didunia
Berikanlah tenang rasa damai dariMu saja
Jika tak layakku dicintai manusia
Biarkah cintaMu yang temani selamanya

The painful Journey

Pendakian itu bukanlah sekadar perjuangan ke puncak, tapi keluar dari hutan dengan selamat. Ramai yang kata Kinabalu ni senang, training tangga je. Betul, secara tacticalnya tidak begitu rumit, straight forward. Tapi ia menguji endurance. Sebab dia tinggi dan tempoh perjalanan yang singkat. Sejuk lagi. Start pun dah sejuk. So kalau kau punya training tak cukup, kau masih boleh sampai puncak. But! Ready je lah nak menghadap turun dia. Goyang mat kepala lutut. (Ini belum mengambil pertimbangan cuaca, Alhamdulillah kami naik dengan cuaca yang bagus, cerah dan panas. Kalau dapat hujan. MasyaAllah gak kebayang!)

Maka, kalau korang rasa nak enjoy Kinabalu, traininglah! Tanpa training, korang tak kan ada stamina. Tanpa stamina, siapalah korang nak enjoy the view! Hahaha. Mind you, this gunung got COT oh! Bukan nak ke puncak je, nak sampai balik Laban Rata dan Timpohon pun ada COT tau. 

Ok, jom kita.
Sebabkan aku lewat sampai puncak, jadi aku takde group photo kat puncak. Kami bergambar kat bawah sikit dari puncak

Turun dari puncak Lows Peak, agak mengambil masa, banyak bergambar sebenarnya. Masa turun ni aku agak okay lagi, walaupun banyak kali berhenti juga. Kali ni aku dapat rasakan performance aku tak seperti selalu. Ok kenapa aku kata performance, sebab biasanya aku tiada masalah turun berbanding naik. Ni berdasarkan rekod sebelum² ni lah. Cuma masalah kali ni, aku tak pakai knee guard. Dari awal pendakian aku tak pakai. Gi puncak pun tak pakai. Niatnya turun dari Panalaban nanti baru nak pakai. Ternyata, sudah terlewat. Hentakan demi hentakan baik mendaki atau menuruni sebelum ini telah menghentak segala sendi dan mengoyakkan sisa otot yang ada. Perih.

Perjalanan menuju ke Laban Rata terasa lama. 

"Eh, tak de lagu nasyid hari ni?" tegur seorang brader berjaket kuning. Aku rasa, semalam dia ada melintasi aku masa pendakian ke Laban Rata.
"Hari ni takde, semalam je, sebab Jumaat"

Untuk pendakian 12,13 Disember ni, aku dengar peserta adalah seramai 50 orang je. Normal pax boleh memuatkan sehingga 200 orang. Disebabkan bilangan yang kecil ini, muka-muka yang berselisih boleh cam lah kebanyakannya.

Aku sampai di Laban Rata semula around jam 10 pagi. Agak rushing jugak nak berkejar² ni sebab nak kena singgah untuk pos poskad di Pendant Hut (pejabat pos tertinggi di Malaysia) Aku gi kaunter dan bagitau nak beli setem. Bayar setem then aku tinggalkan poskad. Aku pesan je dekat adik tu minta tampalkan dan masuk kan dalam pos box. Ada less than 30 minutes sebelum 10.30 pagi (COT untuk turun dari Laban Rata dan makan. Lepas dari 10.30 - takde makanan lagi)

Beg untuk porter aku da masukkan sesiap pagi tadi, jadi aku terus ke tempat makan untuk breakfast. Menu dia sama je macam supper pagi tadi. Lepas siap makan, aku pasang knee guard dan menunggu yang lain siap. Lepas sarapan tu, aku dah siap2 telan panadol extend 2 bijik. 

Akhirnya, jam 11 pagi bergeraklah kami turun dari Laban Rata. Bergambarlah sekali untuk terakhirnya gambar berlima.

Nampaknya kaki aku tak nemberi kerjasama kali ni. Dah tak perform dari turun summit tadi. Menggeletar dari seluruh arah. Paha, betis, urat keting, tapak kaki, kepala lutut semua lunyai. Untuk pendakian kinabalu ni aku sewa stick. Rm15 per stick. Memang aku sewa khas untuk guna time turun. Agak susah juga mula-mula nak memberi kepercayaan kepada stick ni. Tapi kita kena sedarlah kemampuan diri, nak taknak kita perlu rely kepada sesuatu yang lain. 

Siap kena ajar pulak oleh Anton sebab aku mula-mula da pasang stick pastu aku simpan balik. Dia suruh guna jugak. Terlalu slow perjalanan turun aku dari Panalaban. Kakiku sakit! (gitu! macam kau sorang je lah terpaling sakit kaki kan. Haha)

Macam biasa, Juju kali terakhir kelihatan adalah di Panalaban. Lepas tu dah tak nampak. Bad, Ita dan Fani aku biarkan je berjalan perlahan meninggalkan aku. Sekali lagi, aku dengan guide di posisi paling belakang.

"Dik, ada ubat tahan sakit tak?" Tanya aku pada seorang hikers yang melintasi aku setelah tanya guide tadi jawapannya mengeciwakan.

"Takde kak, saya tak bawa ubatan. Bawa supliment je, itupun supliment lelaki"

"Shilajit?" Aku pernah dengar suppliment ni kat tiktokshop memang energy booster. Biasa orang gym pakai. Tapi asal usul dia jadi femes sebab katanya sherpa everest guna ni untuk suppliment diorang.

"Haah kak, dia tak hilang kan sakitlah tapi bagi energy. Sakit tetap rasa jugaklah. Takpe kak pelan²" lalu dia pun beredar. Dia pun berjalan perlahan jugak turun. Tak pasti memang sakit atau hemat tenaga sambil menikmati alam. Santai nampaknya.

Aduh tanak share lah adik ni. Aku rasa teruk betul keadaan time ni, aku rasa macam nak makan apa je yang ada asalkan aku ada tenaga nak turun. 

Bila aku berhenti sekejap di pondok depan, aku nampak adik tadi pun tengah berehat bersama kawan-kawan dia dan 1 lagi group lain.

"Kau biasa ke naik gunung?" Tanya satu adik ni.
"Dulu ada lah masa time belajar"
"Gunung mana?"
"Gunung sinai. Kat mesir"

Allahuu... budak Mesir rupanya.

Sebelum KM4 aku dah jumpa geng abang khairy. Nampak steady semuanya. 
"Kau jalan je pelan-pelan, lambat sampai pun takpe. Diorang tak jauh pun tu, bawah ni sikit je" ujar abang khairy bila aku bagitau kaki aku sakit dan pergerakan aku sangat slow. Lah, tiber mengadu pulak!

Di depan aku dipintas lagi adik Mesir. 

"Kak dari mana kak?"
"Selangor"
"Naik gunung ni saje ke? healing2 ke camne?"
"Healing apa macam ni, buat tambah sakit ada lah"
"Tapi tulah kan kak, healing sebenar ni hanya dengan membaca Al Quran"

ok, certified Mesir! Dia bagitau ada sorang je kawan dia dalam group tu, yang lain2 adalah kawan2 kepada kawan dia tu. 

"Korang solat kat mana?" tanya aku lagi pada adik tu selepas dia dan kumpulan dia da gerak sekali
"Dah keluar nanti kak, sempat ni. Slow-slow kita" sambung adik tu. Diorang slow-slow tapi aku tak rasa ada yang cedera. Cuma biasalah betis paha pegal2 tu kan. InsyaAllah sempat sampai ke Kinabalu Park. Aku dah makin ragu dengan diri sendiri.

Aku regroup semula dengan Bad, Ita dan Fani di KM1.5 selepas Bad berhenti solat. Bila dihitung hitung, aku tak sempat nak sampai ke Kinabalu Park before maghrib ni. Jadi aku pun decide untuk solat di pondok hadapan. Masa aku solat tu, guide minta diorang gerak dulu takut 'sejuk' rehat lama nanti semua krem. Sebelum aku gi toilet nak amik wudhuk tu, ada kami dan 1 group lagi adik2 ni. Bila aku keluar, semua dah hilang tinggal guide aku dan guide adik tadi sedang berborak. 

Lepas solat aku pun bergerak perlahan-lahan. Beg Anton dah bawa. Walaupun banyak kali aku cakap dah, bukan isu beg, aku tak boleh jalan laju. Bahu aku kuat lagi kut. kaki je yang tak kuat. Ada beberapa kali jugaklah aku jatuh tergolek sebab kaki goyang mat. Terpijak plak batu-batu yang loose tu, memang tergolek bak nangka busuk.

Aku sampai semula ke gerbang Timpohon jam 6.15 petang. Hari dah gelap. Seret kaki. 

"Ha ni kawan korang dah sampai"
Aku cam suara budak ni. Group yang aku jumpa masa sebelum aku masuk toilet untuk berwudhuk tadi.
"Kak, merangkak je kak" ujar dia lagi. Pedih hati aku tengok tangga-tangga terakhir untuk sampai ke gate Timpohon.
"Kawan kitorang tadi, kitorang dah rakam dah dia merangkak"

Ah kawan korang nak merangkak biarlah, aku gentle kut. Bertongkat ku gagahi melangkah tanpa merangkak. Ahaha!

Sepanjang pendakian kali ni, aku rasa dah ramai dah aku bagitau (termasuk guide) yang ini merupakan pendakian persaraan aku. Dah tak larat dah. Gantung kasut!

Selepas membuat bayaran lewat keluar (COT timpohon 4 petang. Jadi kena bayar denda 2 jam lewat. 2 jam x RM15 bayar pada guide) dan memulangkan stick, kami pun naik ke truck untuk dibawa ke Kinabalu Park.

Kat sana, kereta dah tersedia untuk membawa kami ke KK. Di KK, driver drop kan Juju, Bad dan Fani di hostelnya, aku dan Ita di hostel kami. MasyaAllah taktaulah aku main order je bilik ni. Punyalah jauh kedalam dan lusuh sekali. Meski dah penat macam tu, tetap malam tu keluar jugak cari makan. 

Perjalanan 10 minit nak ke kedai makan terasa jauuuuuuhhh sekali dengan keadaan kaki seperti itu. Malam tu kami makan bakso (yang aku dan Ita tak habis pun) Lepas makan, aku mencari dobi untuk baju hari esok dan lusa. Sambil tunggu dobi tu, aku pi mengurut kaki kat tempat urut depan dobi. Haha. Tengah sakit kau urut, aku rasa tak membantu sangat. 

#kktrip
#conquerAkinabalu

19 December 2025

Kinabalu Trip - D3: Summit Attack

Sabtu, 13.12.2025

Hari terpaling awal. Sebabkan tidur pun awal semalam, jadi aku terjaga pun awal jugak ni. Selepas jam 11 dah start bangun-tidur-bangun sampai lastnya jam 1 lebih macam tu bangun. Aku bangun gosok gigi je lah, beg dah kemas. Masukkan toiletries balik dalam beg dan simpan kat beg Bad. 

katil double decker - atas aku kosong
Ita cakap ada chinese yang katil sebelah ni keluar tengok bintang malam tu. Aku perasan juga diorang ada keluar malam tu. (Sebab katil aku betul-betul depan pintu bilik) Tapi aku tengok jam, eh awal lagi. So aku sambung tidur. Rupanya diorang pergi tengok bintang.

Lepas mempersiapkan diri, aku duduk kat katil tunggu yang lain siap. 1.30 pagi aku gerak ke tempat makan. Uuuii sejuknyoo.. Makan pagi ni (supper) menu sarapan gitu. Ada bihun, nasi goreng. Ada roti. Ada telur. Makan makan, then aku tapau air teh o panas masuk gula jugak. Incaselah nanti ada tantrum plak kat atas kan sebab sejuk. Bolehlah buat menenangkan tantrum. 

Lebih kurang jam 2.30 minit pagi macam tu kami pun dilepaskanlah perlahan-lahan, menuju ke Pendant Hut dan seterusnya 1km menuju ke Sayat-sayat. Nak ke sayat-sayat ni ada cut of time. Kena sampai before jam 5.30 pagi atau kena patah balik. Kalau kita kira logiknya lama dah tu, 3 jam untuk 1km. Tapi udara yang nipis dan angin yang masyaAllah sejuknya memang akan menjadi ujian. 

Oh ya, kami sepasukan dah amik ubat AMS dari semalam lagi, ikut saranan farmasist. Depa kata kena amik 24jam untuk dia berfungsi. 

Dari tempat makan tadi, all the way naik adalah tangga. Kalau tak tangga kayu tangga batu. Aku macam biasa kalau dalam team memang duduk last sekali. Aku terjumpa pulak this girl pakai jaket putih, dia jalan slow gila. setapak naik, amik napas. setapak lagi naik, amik napas lagi. Mula-mula aku ingatkan itu Ita, jadi aku follow. Sampai akhirnya aku rasa aneh, bila pulak Ita bawa 2 stick. Dan what, minah ni freehair. Noh, confirm bukan Ita! So aku pintas, masa ni dah jauh dah dari diorang. 

Maka aku pun jalanlah slow-slow bersama Anton. Macam biasa, teknik pendakian aku. 10-15 langkah berjalan, berhenti betulkan nafas. Ah, aku tak peduli dah nak kena warning ke apa. Yang penting aku melangkah. 

Sebabkan gelap sangat, sepanjang jalan tu kau hanya akan nampak headlamp orang. Ni aku cuba-cubalah jugak snap gambar. Tapi dapat macam ni je. 

Sayat-sayat, 4.26 pagi

Alhamdulillah, sampai Sayat-sayat sebelum COT. Kat sini korang kena maklumkan nombor kad supaya diorang boleh rekod keberadaan korang dah kat mana. Masa kat sini dah tak ramai orang dah, suara orang dari kejauhan pun aku dah tak dengar. Aku ke toilet kejap, untuk ambil wudhuk. (Oh ya kat setiap pondok di Kinabalu Park ni akan ada toilet, jadi korang yang trauma nak membuang dalam hutan tu jangan bimbang, cuma! Cumanya, kena bertahanlah dengan air dia yang sejuk tu)

"Kamu jalan ikut tali ni, saya mau ke toilet lagi ni. Nanti saya kejar kamu" - pesan Anton sekembalinya aku ke pondok Sayat-sayat. Aku pun ok je lah. Nak buat cemana, cepat atau lambat kita memang bersendirian di dunia ini. Eh!

Aku pun jalan santai-santai sambil duk usha timing, bila Subuh nak masuk ni. Bukan apa, takut terbatal wudhuk aku satgi. Menggigil nak perbaharui wudhuk. So aku Subuh lepas sikit dari Sayat-sayat. Ada kawasan datar yang agak luas. 

Selepas solat, aku tengok depan di kejauhan ada beberapa lampu headlamp lagi. Aku follow. Jalan punya jalan dah besarlah harapan aku time tu yang itu puncak. Sebab dengar suara orang bersembang dan lampunya nampak makin banyak. 
view aku sebelum sampai KM8.0
MasyaAllah, sesampai aku di keramaian, baru KM8.0. Dan rupanya jugak diorang berhenti solat di KM8. Dari KM8 ni kau dah boleh nampak dah another bukit yang sedang dinaiki banyak orang, itulah Low's peak, KM8.7! Allahu. Aku dah seriau2 ni, tadi aku dah bersantai sangat sebab ingatkan ini puncak. Sempat tak ni.

Takpelah, jalan je lah kan. Nak buat apa je lagi. Aku pun jalan lagi dan kelihatan Anton di samping.

"Kalau kita dah sampai KM8.5, tetap dapat sijil berwarna" ujar Anton. Ok, info bermakna ni. Ada ciri2 lipat ni. Hehehe. Aku berhenti betul-betul di bawah Low's Peak, sambil usha orang ramai yang nampak menderita menuju ke puncak kinabalu. Lalu Anton mengajak bergambar di kolam. Walaupun aku tak into sangat bergambar, tapi sebab aku penat dan why not kalau dapat bersantai sebentar. Jadi aku pun follow.

Habis bergambar aku masih merenung puncak. Bersama idea-idea yang pelbagai di kepala.

"Kalau tak naik puncak pun dapat sijil berwarna kan?" tanya aku mengulang kembali point Anton tadi.
"Iya, kalau tak nak naik, jom kita bergambar" supportive jugak Anton ni. Haha. Baru nak bersetuju tadi, tapi aku teringat pulak harapan-harapan orang ramai dari story yang aku post semalam. Erm.
"Berdasarkan pace saya, berapa minit kita boleh sampai puncak?" tanyaku lagi. Masih nego. Sebab time ni jam dah 6.30 pagi. Cut of time jam 7!
"30 minit boleh sampai" 
"Oklah, kita cubalah ya. Slow2"

Tinggal beberapa langkah lagi nak sampai puncak, aku nampak Ita dengan Fani dah turun. Diorang tunggu di puncak RM100 katanya, sebabkan kat atas tu kecik je pun.. kalau ramai-ramai jammed juga. 

Kemudian aku nampak Bad dan Juju. 

"Kak Sarah, bibir akak dah biru" kata Bad. Aku memang tak bawa buff hari tu. Sepanjang naik pun aku tak pakai shawl yang aku bawa sebab selesema jugak. Lemas pulak kalau berbalut. Hakikatnya memang rasa bibir dah kebas-kebas dah time tu.
"Takde lipbalm ke?" sambung Juju. 
"Ada. Tapi tak cukup tenaga nak ambik" Aku memang salute lah orang yang bersiap, bermake up nak ke puncak ni. Anda hebat!

Sambil aku menunggu turn nak bergambar ni, aku dengar suara orang orang. 

"Biar tak training, asal sampai puncak!" 
Hahaha. Terasa I oll!

Elok tengah berbaris nak amik gambar ni, kak Ayu rupanya depan aku. Kak Ayu ni satu dorm ngan kami. Dia naik dengan kawan dia, both orang KK. Tapi kawan dia tak naik puncak, sampai Laban Rata je, due to fever. Unbelievably, ini kali ke-8 kak Ayu naik! Allahu. Emang agak lain ya. So, aku minta dia tangkapkan gambar aku lah, alang-alangkan.

Subhanallah!
Maka, nikmat tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan.

Begitulah kisah pendakian aku ke Gunung Kinabalu! 

Tekadang, saat kita tidak punya harapan lagi, pinjamlah harapan-harapan orang yang kita sayang untuk terus melangkah menempuh kejamnya dunia.

#kktrip
#conquerAkinabalu

18 December 2025

Kinabalu Trip - D2: Timpohon Gate to Laban Rata

Jumaat, 12.12.2025

Bangun awal pagi ni untuk hari yang panjang. Beg perlu dipisahkan kepada 3 (1 untuk ditinggalkan, 1 untuk di gunakan-daypack, dan 1 untuk di beri kepada porter) Pada awal perbincangan memang plan aku dengan Bad ambil porter, tapi rupanya Ita pun nak, jadi kami decide untuk 1 porter untuk 3 orang, 1 beg. Tapi rupanya, Fani pun nak join. Oklah kita cuba. Eh oh no, bila nak masukkan beg tak muat. Makanya kita buat 2 beg. So akan ambil 2 porter.


Lepas siap susun semua, tangkap gambar beg yang ditinggalkan dan send pada driver van. Esok sebelum ambil kami di Kinabalu Park mereka akan ambil beg ni.

Kira-kira 6.30 pagi macam tu van sampai untuk bawa kami sarapan dan pack lunch di Pekan Kundasang. Walau pun kebiasaannya makan lunch macam ni aku pun takde selera sebab penat, tapi beli jugaklah sikit, mesti lapar nanti. Jam 7.15 pagi setelah selesai semuanya kami pun bertolak menuju ke Kinabalu Park. Sesampai di sana kami pun dikenalkan dengan guide kami, Antonius. Setelkan duit guide dan bayaran porter. Aku pun sewa juga stick untuk kegunaan masa turun esok. 

Jam 8.00 pagi kami bergerak ke Timpohon Gate menggunakan van yang disediakan pihak Taman Negara. Uhhh.. its feel so real. Da sampai rupanya waktu untuk mendaki lagi! Takut bercampur ga percaya diri, tapi benda pun dah depan mata, kita layan je lah ek.

Jam 8.13 pagi kami tiba di Timpohon Gate dan perlu tandatangan borang nak maklumkan kami masuk ke Taman Negara dan seterusnya kami berenam pun memulakan perjalanan.

Susah nak dapat gambar ber5. Haha!

Cantik sebenarnya Kinabalu ni, tapi tu lah pacak dia bukan biasa-biasa, jaranglah nak bagi diskaun. Masa perjalanan kami naik ni, cuaca adalah on off gerimis. Tak ada expectation sangatlah tentang kebolehan memuncak atau tak, sebab bulan 12 pun kan. Cuaca tak dijangka.

9.00 pagi - KM1.0

9.26 pagi - Pondok Ubah. 
Jalan depan sikit dari Pondok Ubah ada open view.
10.00 pagi - KM2.0
10.12 pagi - Pondok Lowii
Ni lah guide, Antonius.
10.52 pagi - KM3.0
Aku macam biasalah kalau dah sampai penat tu, 10 langkah berhenti, 10 langkah berhenti. Sekali Anton pesan, jalan terus biar perlahan, jangan banyak berhenti. Allahu. Terus terkenang kata-kata Kam masa kat GBH. Am traumatized. Dah tak jadi dah aku nak borak-borak dengan Anton.

11.12 pagi - Pondok Mempening
Bila aku dah nak start agak-agak mental ni, aku pun pasangkanlah mp3 untuk menemani nafas aku yang putus-putus tu. Tiba-tiba pintas sorang brader, aku syak dia guide. 
"Slow-slow je jalan. Hari ni takde COT. Ambil gambar banyak-banyak, enjoy. Esok baru push."
Aku angguk
"Tapi kalau boleh, lagu tu janganlah galau sangat, cari yang rancak sikit"
Allahu, baru aku perasan memang playlist aku lagunya galau semua. Kenapa ya?

12.00 tengahari - Pondok layang-layang/ KM4.0
Sepanjang perjalanan aku banyak dengan Fani, itu pun dah hujung-hujung tu macam tertinggal jugak lah. Bad jalan ngan Ita. Tapi kat sini kitorang kumpul sekali. Kat sini kami berhenti lama untuk makan tengahari. Tapi ngam siap terus jalan. Sebab duduk lama pun tak boleh. Sejukkkk. Cuaca pun on off gerimis. Lepas 30 minit kami terus kan perjalanan.

1.18 petang - KM4.5
Kata orang selepas layang-layang adalah part yang menguji mental. Sebab kau jalan kau jalan, tapi tak sampai-sampai. Allahu!
1.34 petang - Pondok Wilosa
1.55 petang - KM 5.0
Selepas dari KM5.0, sign yang tinggal adalah setiap 100m. lagi 600m nak sampai, ada 1 pondok terakhir. 

2.21 petang - Pondok Poka
2.33 petang - KM 5.5
Dah nampak, tapi bukan dia! 
3.11 petang - Tiba di Panalaban
Seperti yang dikatakan, susah nak bergambar ber5. Haha!
Juju dah sampai more or less sejam lebih awal dari kami. Kat Panalaban ni, kami amik Hostel Lemaing. Biasalah penjimatan gitu. Sampai hostel, memang dah sakit dah seluruh badan. Semua maklum air kat hostel ni macam ais. Jadi aku pun cepat-cepat bersiap dan mandi. Nanti badan dah sejuk akan lagi 'sejuk' nak mandi. Hahaha! Tibe rajin plak nak mandi kan. Makan malam adalah jam 4. Maka ada beberapa minitlah untuk setelkan bersihkan diri dan solat sebelum bergerak untuk makan malam.

Jam 4 lebih sikit kami pun ke ruang makan. Lapar betul rasa, makanan dia biasa je kalau ikut-ikut. Tapi semua sedap! (Bukan sebab aku lapar kan?) Ruang makan ni dia ada indoor dan outdoor jugak. Aku tak jejak langsung kat bahagian outdoor dia. Kalau ikut cantik view situ. Tapi tak mampu, sejukkkk...

Suhu jam 5 petang lepas kami habis makan, 10 degree

Setel makan semua, balik bilik terus masuk dalam selimut. Selimut tu pun sejuk meski dia tebal. Hanya lepas kita duduk beberapa minit dalam tu dan haba kita dah terperangkap barulah selimut tu function well. Lepas makan tu, aku tidur terus. Lepas tu baru bangun balik untuk Maghrib, Isyak. Kalau sejuk ni, otak aku kurang berfungsi sikit. Lepas dah solat baru aku susun barang untuk beg yang akan summit dan yang akan simpan balik dalam beg untuk porter. 

Aku dengar dari Ita ada chinese yang duduk katil sebelah ni keluar semula malam tu untuk tengok bintang. Hahaha. Memang langsung takde dalam fikiran aku nak keluar baliklah sejuk-sejuk macam ni. Hebat betul lah diorang ni ek. 

#kktrip
#conquerAkinabalu

17 December 2025

Kinabalu Trip - D1: Arrival

Khamis, 11.12.2025, 10.15pagi.

Sampai di airport KK awal 15 minit dari jangkaan. Alhamdulillah cuaca baik menemani perjalanan. Sampai di airport, Ita dah menunggu. Ita dan lain-lain dah sampai sejak semalam. Aku je yang baru gerak hari ini. Biasalah. Ita dari rumah kakak dia di KK, sementara Fani, Bad dan Juju stay di homestay, KK. 

Kira-kira jam 11 pagi maka sampailah van yang mengambil kami. Fani, Bad dan Juju sudah di dalam. Maka beransurlah kami meninggalkan bandar KK dan menuju ke Kundasang. 

Jambatan Tamparuli.

Jambatan Tamparuli yang ikonik di Sabah bermula pembinaannya sekitar 1930-an oleh pihak British tetapi sering runtuh, kemudian dibina semula pada 1933, diketuai oleh pegawai British bernama Robinson, dan terkenal dengan lagenda tragis tentang gadis tempatan, Solungkoi, yang dikorbankan (tumbal) agar jambatan itu kukuh, menjadikannya "Jambatan Kekasih" dan simbol budaya Kadazandusun yang popular melalui lagu rakyat ciptaan Justin Lusah (1977).


Berhenti sekejap je kat sini untuk bergambar. Selepas bergambar terus singgah makan tengahari. Tak ingat nama tempat makan. Dari tempat makan, kami singgah kejap di Pekan Nabalu, pun bergambar!

View dari Pekan Nabalu
Sijil yang akan anda dapat jika ke Taman Negara Kinabalu
Selepas bergambar, kami singgah di Taman Negara untuk membuat bayaran permit dan solat Zohor, Asar. Sejuknyo lahai!

Sosodikon Hill

Dari Taman Negara kami bergerak ke Sosodikon Hill! Pendek je pendakian Sosodikon ni rupanya. Kalau ikut mdpl dia memang tinggi, tapi sebab kita pun sekarang ni dah di ketinggian berapa kan. Jadi, jatuhnya takde lah tinggi mana. Kira-kira kalau naik, turun, bergambar bolehlah dalam 30 minit.

Nak naik ni kena bayar permit RM5 per person. Lepas tu turun tu boleh juga beli sijil. RM3 untuk softcopy atau RM8 untuk printed. So, kalau nak kumpul sijil tu boleh lah. 


group photo
group abang khairy
Masa kami naik tu ada satu group belakang kitorang. Sembang punya sembang, lah dia kenal Fani. Dia kata kenal masa trip Silipat 2018. Partner Q rupanya. Ni dia datang bawa kawan2 naik kinabalu. Team diorang naik sehari selepas kitorang. Kira nanti hari kami turun, team diorang pulak naik. Memang hai hai kat jalur lah nanti.

Puncak Homestay, Kundasang

Kami tiba di penginapan, puncak homestay kira-kira jam 5 petang. Letak beg, tunggu Juju solat jap then terus ke pasar malam Kundasang. 


Kami berlegar-legar di pasar dengan rasa macam nak borong semua. Nampak sedap pulak bila lapar ni. Walau demikian, akhirnya kami beli jajan sahaja memandangkan berhasrat nak beli makan berat kat tepi homestay je (sebab duk teringat bau sayap ayam yang di bakar sewaktu kami keluar tadi) Plus, dekat homestay tu jugak ada Kopisanangan Kafe. Dah terbayang-bayang nak mengopi kat sana. 

Walaupun rasa macam dah beli dengan kadar terkawal, tapi nampaknya tetap tak habis >.< Aku pun siap beli buah tarap tu. Gigih, penuh harapan nak makan. Tapi memang harapanlah nak menyentuhnya di malam yang kekenyangan itu.

So sampai situlah malam pertama berakhir, balik bilik hanya kemudian untuk tahu yang water heater bilik kitorang tak berfungsi. Layan je lah, training nak mandi kat panalaban. Haha.

Kemas beg, dan tidur!

#kktrip 
#conquerAkinabalu

16 December 2025

Mi wantan ayam dan udang

Khamis, 11.12.2025, 9.10pagi.

Bila ingat-ingat balik, back on 2016 masa first flight aku ke Jogjakarta. Tu first time lah bercuti yang naik flight ke luar negara (selepas umrah 2014). Masa tu beli tiket pun berkira-kira, nak amik check in bagage ke tak, apatah lagi amik makan dalam flight. Mahal! Sampai la masa balik dari jogja, seat aku sebelah brother ni. Sembang punya sembang, dia belanja kopi atas flight. Dia cakap, kenalah minum, mahal sikit bukan selalu.

Sejak dari tu, setiap kali aku naik flight aku mesti akan beli meal (laughing emote) unless betul-betul flight pendek less than an hour. But then, aku notice makan dalam flight ni ada benefit jugak. Menelankan membantu keseimbangan tekanan dalam telinga. Real or fake? Cari dong!

New menu unlocked!



Dulu kalau amik AA aku akan order rice with chicken basil, walaupun yang paling femes adalah nasi lemak pak naser. Tapi kali ni tak nampak plak menu ni. Aku pun try lah 'mi wantan ayam dan udang'.. a good move! Satisfied!

Kali ni aku order tanpa kopi, mahal plak dengan kopi. Perasan aku dulu, meal rm10 je sekali dgn kopi. Sekarang meal pun dah lebih rm10. Nanti je la cari kopi kat darat. Oh, tapi ada satu menu yang aku sedikit penasaran, char kuey tiaw. Masa aku nak prebook hari tu ada nampak, tapi duk terbayang tak soggy ke nanti.

Ok tu je lah review aku pasal meal. Tak sangka aku excited dengan makanan AA. Haha. Ada sejam lagi sebelum landed dan aku baru habis makan, belum mood nak membaca, dan tak boleh nak terus tidur. So, aku menulis dulu. Hehehe :)

9.45 pagi

Baru je nak lelap lepas makan, kira-kira 9.45 pagi seorang anak (aku rasa istimewa) kat kerusi 10 mengamuk. Tantrum. Menangis sampai nak muntah bunyinya. Maka aku yang di kerusi 12E, tak jadilah nak tidur. Jom sambung cerita.

Pagi ni, disebabkan cuti maka kak Siti hantarkan sampai airport. Aku sampai awal. Sempat solat Subuh di surau L1. Dengan bertenang. Dalam 6.20 pagi macam tu bergeraklah aku ke balai berlepas. Sampai dekat kiosk. Nah, tak pandai dia scan aku punya e-boarding pass. Aku nak print baggage tag je pun. 3kali percubaan, gagal. Aku pun beratur untuk manual bag check in.

Sambil berarur aku sembang dengan brader yang baris depan aku, dia cakap cek berdasarkan kita punya tiket baru tau nak drop beg kita kat kaunter mana. Aku pun keluar baris, tengok list flight. Noh, tak nampak pun flight gi KK. Oh no!

Aku buat percubaan kali ke 4 kat kiosk. Kali ni aku print boarding pass. Kut lah dari barcode kat printed boarding pass dia boleh baca. Tidak ye! Tetap gagal. Maka, kembali lagi aku ke kaunter beg tadi. Alhamdulillah, 6.45 pagi setel simpan beg dan check in aku pulak. Takde isu sangat. Alhamdulillah boleh bersantai nak menuju pintu J17 (gate paling hujung)

Punyalah aku dah bayang nak check in dengan bergaya, canggih dan wanita karir yang bijak dan elegen. Noh, kiosk tak bagi kerjasama. Manual jugaklah hujung².