Quotes..

"manusia tidak dapat mencintai orang lain selagi belum mencintai diri mereka sendiri.. dan mereka tidak akan mencintai diri mereka sendiri sebelum mereka mencintai Tuhan.."

Sedikit Renungan

"Sesiapa mencintai Allah pasti semakin sunyi dengan manusia. Di tengah keramaian dia rasa keseorangan. Saat kesukaan dia berduka. Jika orang tertawa dia menangis. Jasadnya dengan manusia, batinnya kepada Allah"


"Ketenangan dan kebahagiaan adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam lubuk hati orang yang beriman, mereka akan tetap berhati teguh, di kala insan lain mengalami kegoncangan"

[Syed Qutb]

28 November 2023

Jenazah Syuhada' Dimakan Anjing Liar

Aku sangat sedih dan terlalu sebak di kala aku mengetahui bahawa mereka tidak mampu untuk mengkebumikan jenazah sebahagian syuhada’ lantaran serangan musuh yang bertubi-tubi dan tidak henti-henti sehingga jenazah para syuhada’ dimakan oleh anjing-anjing liar.

Kemudian aku teringat hadis sahih di mana Rasulullah SAW telah bersabda tentang penghulu syuhada’ Hamzah (maksudnya): “Kalaulah tidak kerana Sofiah (adik beradik Hamzah juga ibu saudara Nabi SAW) yang akan rasa terkilan, nescaya aku akan biarkan jenazahnya di makan oleh burung-burung dan binatang buas supaya dia bangkit di Mahsyar nanti daripada perut binatang-binatang itu.”

Maka timbul soalan dalam diriku: kenapakah baginda bercita-cita untuk lakukan demikian terhadap Hamzah sedangkan Hamzah merupakan insan yang paling baginda sayangi? Hamzah adalah bapa saudara baginda, saudara sesusu baginda, sahabat dan pembela baginda dalam dakwah sejak di Mekah. Dan baginda SAW amat sedih dan banyak menangisi kewafatan Hamzah. Bukti sayangnya baginda kepada Hamzah sehingga ahli keluarga baginda yang pertama lahir selepas kewafatan Hamzah baginda arahkan supaya menamakannya dengan nama insan yang paling disayanginya, Hamzah!

Jadi, kenapakah baginda bercita-cita jenazah Hamzah, sayyidusy-syuhada’ dimakan oleh anjing-anjing liar?

Aku berkata kepada diriku: pastinya hal itu akan memberikan pahala yang lebih besar, ganjaran yang lebih sempurna lagi mulia daripada pengkebumian dengan cara yang biasa. Kemudian aku mencari dalam syarahan-syarahan hadis. Maka aku menemui syarahan yang menyejukkan dadaku:

“Supaya Hamzah memperolehi pahala yang sempurna sepenuhnya dan supaya kesemua bahagian jasadnya jadi korban di Jalan Allah SWT.”

Demi sesungguhnya Allah telah pilih para syuhada’ itu (yang jenazah mereka dimakan anjing-anjing liar) untuk dianugerahkan apa yang dicita-citakan Rasulullah SAW untuk penghulu syuhada’. Maka dengan itu, mereka adalah sebenar-benarnya para penghulu syuhada’.

Kemudian aku teringat hadis sahih daripada Rasulullah SAW (maksudnya): “Penghulu syuhada’ ialah Hamzah dan seseorang yang bangkit di hadapan seorang penguasa yang zalim dan menegurnya dengan menyuruhnya (melakukan kebaikan) dan melarangnya (dari melakukan kejahatan), maka penguasa itu membunuhnya.”

Dan mereka ini bukan bangkit melawan seorang penguasa yang zalim. Sebaliknya mereka bangkit mendepani penguasa-penguasa zalim yang sangat ramai, bahkan mereka bangkit melawan system yang mendominasi dunia seluruhnya yang kezaliman, kekejaman, kebejatan dan kerosakannya sudah sampai ke kemuncaknya.

Dengan itu, aku memujuk dan menenangkan hatiku bahawa sesungguhnya mereka itu memang benar-benar berhak disifatkan sebagai penghulu-penghulu syuhada’.

Aku harap tulisan ini sampai kepada ahli keluarga penghulu-penghulu syuhada’ itu supaya dapat meringankan kesedihan mereka serta meningkatkan kesabaran mereka dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.

Terjemah daripada tulisan Prof Dr Wasfy Abu Zaid

https://t.me/drwasfy

No comments: